AGENDAJENAYAH

Polis jejaki empat warga Sierra Leone susulan kes bunuh

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Seorang lelaki ditahan reman hari ini manakala empat lagi sedang diburu susulan kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang rakan senegara di hadapan sebuah hotel bajet di Bandar Puteri Puchong dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kesemua lelaki berkenaan dan mangsa lelaki berusia 31 tahun adalah warga Sierra Leone.

Kejadian dikatakan berpunca daripada salah faham dan ejek-mengejek.

“Mangsa dipercayai dipukul dengan tangan dan kaki oleh kumpulan itu sehingga mengalami kecederaan dalaman,” katanya dalam kenyataan berhubung kejadian 1 pagi itu.

Perintah reman dikeluarkan sehingga 30 Julai ini terhadap lelaki yang ditahan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ismadi berkata, akibat diserang, mangsa dilaporkan rebah sebelum dikejarkan ke sebuah hospital di Puchong namun disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, tiada kesan darah atau sebarang objek ditemui di lokasi kejadian dan punca sebenar insiden itu masih disiasat. – BERNAMA


Pengarang :