AGENDANASIONAL

Polis nafi Pengerusi PKR Perak tidak diberi makan ketika direman

KUALA LUMPUR,18 JUL : Polis menafikan dakwaan bahawa Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak diberi makan hampir 24 jam ketika ditahan bagi membantu siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata dakwaan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Keadilan (MPN) Perak adalah tidak benar sama sekali.

” Itu semua dakwaan yang tidak betul, saya menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu (dakwaan Pengerusi PKR Perak tidak diberi makan), “ katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Naib Pengerusi 1 PKR Perak Baldip Singh yang mengatakan Farhash Wafa tidak diberi sebarang makanan selama hampir 24 jam sejak ditahan pada Selasa lepas di Johor.

Hari ini, Baldip dalam sidang media di Ipoh berkata, selain tidak diberi makanan, pengerusi PKR itu juga tidak tidur kerana melalui tempoh soal siasat yang panjang di Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam untuk urusan reman.

“Selepas 1.30 tengah hari semalam, barulah dia diberi makanan, selepas majistret yang datang dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta ke IPD untuk urusan reman meminta pegawai penyiasat memberi makanan kepadanya dan seorang lagi rakan,” kata Baldip.

Ditanya sama ada wujud campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan kes video tersebut, Abdul Hamid menafikan perkara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP).

“Siasatan ini tidak melibatkan sebarang campur tangan mana-mana pihak dan tiada tekanan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Mengenai ketulenan video seks berkenaan, Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :