NASIONAL

Polis siasat video dikaitkan menteri secara bebas – Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR, 9 JUL : Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri akan dijalankan secara bebas.

Beliau berkata siasatan itu akan dilakukan dengan garis panduan yang ditetapkan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Kami jamin mereka (polis) akan bebas menyiasat berdasarkan integriti kerajaan kita hari ini. Biarlah mereka lakukan siasatan dan kita tunggu laporan itu.

“Kita ada pasukan petugas khas, dan kami percaya mereka akan menyiasat perkara ini secara mendalam dari sudut pandangan undang-undang bagi mengesahkan sama ada klip video tersebut sahih, asli atau palsu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas mengenai tempoh siasatan kes itu, Muhyiddin berharap ia tidak mengambil masa yang lama dan selesai mengikut tempoh yang munasabah.

“Pihak polis memerlukan tempoh masa untuk mengenal pasti perkara-perkara lain yang terbabit. Nak cari orangnya kadang-kadang memerlukan masa. Saya tak fikir sehingga mengambil masa bertahun-tahun, itu tak munasabahlah,” katanya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata siasatan kes berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

-BERNAMA


Pengarang :