NASIONAL

Polis tahan 95,045 individu disyaki terbabit sindiket dadah

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Seramai 95,045 orang ditahan disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM250.66 juta, sejak 1 Januari hingga 4 Julai lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, daripada jumlah itu, 35,706 orang memiliki dadah, 14,497 mengedar bekalan dadah, manakala 44,842 disahkan positif dadah.

“Selain itu, polis turut merampas dadah jenis sintetik iaitu kristal syabu seberat 4,234.74 kilogram (kg); ketamin (54.25kg); pil ekstasi (60.07kg); pil yaba (45.76kg) dan pil erimin 5 (35.05kg).

“Polis turut merampas dadah tradisional iaitu ganja seberat 542.29kg dan heroin seberat 435.71kg,” katanya kepada Bernama.

Kamarulzaman berkata, polis turut menyita harta dianggar bernilai RM43.36 juta dan nilai harta dilucutkan RM1.32 juta bagi keseluruhan sindiket yang dikesan itu.

“JSJN sentiasa berusaha membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini dengan menjalin kerjasama bersama agensi penguat kuasa dadah antarabangsa.

“Pelbagai tindakan proaktif diambil bagi mengesan sindiket yang aktif menjalankan aktiviti dadah melalui siasatan dan risikan secara profesional,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :