NASIONAL

Polis Thailand patah cubaan seludup 300,000 pil kuda ke Malaysia

YALA, 1 JUL: Polis Thailand berjaya menahan tiga warga tempatan dan mematahkan cubaan menyeludup 300,000 pil kuda ke Malaysia.

Polis Narkotik menahan tiga warga tempatan berumur 33 hingga 46 tahun itu antara 10 pagi hingga 8.30 malam (waktu tempatan) Jumaat lepas di lokasi berasingan di selatan Thailand.

Timbalan Ketua Polis Bahagian Ke-9, Mej Pol Phot Suaisuwan berkata, suspek pertama yang berusia 33 tahun dari Pattani adalah pengedar dadah sebuah sindiket merentas sempadan.

“Selain 300,000 pil kuda, polis turut menemui 800 gram heroin dalam sebuah bas persairan yang dipandu suspek.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah 2.7 juta baht (RM363,274),” katanya pada sidang media, semalam.

Phot berkata, polis menahan dua lelaki yang berusia 46 dan 37 yang dipercayai merupakan pengedar dadah untuk membantu siasatan kes sama.

— BERNAMA

 


Pengarang :