GLOBAL

Politik Indonesia seperti liga bola sepak

JAKARTA, 14 JUL : Perseteruan politik mereka bukan kepalang dengan pelbagai kritikan, provokasi, serangan peribadi sehingga berlakunya kejadian rusuhan yang turut mengorbankan sembilan nyawa.

Politik Indonesia ternyata pelbagai warna dalam proses Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) ketika Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya itu, ditentang musuh ketat politiknya, Prabowo Subianto.

Namun semalam, mereka bertemu, bersalaman, bersilaturrahim dalam suasana cukup harmoni, makan bersama, berjalan beriringan, yang ternyata amat menggembirakan rakyat Indonesia.

Seorang warga Indonesia, Asep Budiman, 43, yang bekerja sebagai pemandu teksi online di Jakarta, ketika ditanya berkenaan politik Indonesia, berkata; “Politik di Indonesia ini, seperti bola sepak. Mereka berlawan- lawan di liga tempatan, berlawannya itu sehingga bermati- matian.

“Tetapi selepas selesai liga tempatan (pilihan raya) dan telah ada pemenangnya, maka mereka kembali bersatu, menubuhkan pasukan kebangsaan, demi rakyat, demi negara…, lima tahun lagi, baru mereka kembali berlawan,” katanya.

Jokowi menerusi ciapan akaun twitternya berkata, pertemuannya dengan Prabowo di Stesen MRT Jakarta semalam, sudah lama dirancang, namun hanya berlaku semalam kerana kesibukan kedua- dua mereka dalam pelbagai urusan.

Pada 27 Julai lepas, Presiden Jokowi, disahkan memenangi Pilpres 2019 apabila Mahkamah Konstitusi Indonesia menolak permohonan Prabowo, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Pengumuman keputusan Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas juga mencetuskan beberapa insiden rusuhan di Jakarta yang mengorbankan sembilan nyawa.

“Ramai yang bertanya kenapa saya belum mengucapkan tahniah kepada Pak Jokowi ( atas kemenangan dalam Pilpres).

“Saya ingin mengucapkannya secara bersemuka..” kata Prabowo yang dipetik media tempatan, yang turut mengucapkan selamat bertugas kepada Jokowi, yang juga telah menewaskannya pada Pilpres 2014.

-BERNAMA


Pengarang :