EXCOSELANGOR

Program masyarakat kekal konteks tradisi, seni budaya

BESTARI JAYA, 21 JULAI: Kerajaan Negeri akan memastikan setiap pelaksanaan program masyarakat terus kekal dalam konteks tradisi dan seni budaya, membabitkan kesemua 371 buah kampung di Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail bagaimanapun berkata, kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjayakan komitmen itu walaupun Selangor berada dalam arus pembangunan pesat.

“Kalau dulu jika ada apa-apa program mungkin tidak diangkat sebaik mungkin aspek ini (kampung dan seni budaya), oleh itu saya mahu semua bantu saya dan Kerajaan Negeri untuk pastikan matlamat ini dicapai.

“Ia tidak mustahil dapat dilakukan jika ada ‘political will’ (keyakinan) untuk dijalankan secara bersama,” katanya pada Karnival Sayangi Desa Peringkat Daerah Kuala Selangor 2019, di Perkarangan Dewan Bestari Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Seksyen Sektoral, Mohd Faiz Abu Bakar.

Rodziah berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini turut meluluskan satu garis panduan baharu yang diselaraskan supaya perkembangan di kawasan kampung bergerak seiring bandar.

Katanya, beliau khuatir kerana ramai yang membayangkan isu kemiskinan setiap kali istilah ‘kampung’ diungkapkan di bibir masyarakat kebelakangan ini.

“Kita lihat di kampung ramai yang menerima bantuan dan mereka dalam kalangan ditinggalkan anak muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari pendapatan.

“Di kampung juga, isu kemiskinan dan migrasi anak muda ini adalah cabaran besar dan kita akan mencari jalan bagaimana ia dapat ditangani secara baik,” katanya.


Pengarang :