Selangorkini
RENCANA PILIHAN SELANGOR

Program Sayangi Desa bina hubungan pemimpin, rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KAPAR, 13 JULAI: Program Sayangi Desa dapat dijadikan landasan antara rakyat, ketua kampung, pemimpin dan agensi berkaitan untuk berhubung antara satu sama lain, kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan Serta Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi berkata, program yang mempunyai pelbagai pameran daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan itu khusus untuk rakyat yang tinggal di kampung mendapatkan maklumat.

Katanya, ia juga antara salah satu usaha Kerajaan Negeri supaya masyarakat desa tidak ketinggalan, sekali gus memudahkan mereka mendapat maklumat secara terus.

“Kita bawa usaha sebegini kerana kita mahukan ketua kampung untuk bina rangkaian dengan agensi berkaitan yang terbabit sama dalam program ini.

“Pada masa sama, masyarakat di kampung dapat memperkenalkan produk mereka kepada umum supaya ia lebih dikenali dan mungkin boleh dibawa ke pasaran luar pada satu hari nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sayangi Desa peringkat Klang 2019 di Dewan Serbaguna Taman Sri Kerayong, Kampung Kapar, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Terdahulu, pada majlis sama, Rodziah dan Daroyah turut berkesempatan melawat ke 20 gerai pameran dan jualan antaranya Kemajuan Masyarakat, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Tourism Selangor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang turut menunjukkan demostrasi memadam kebakaran.

Program sehari itu turut diadakan pelbagai aktiviti menarik khusus buat komuniti antaranya program 10,000 langkah dengan kerjasama Jabatan Belia Negeri Selangor dan Penggerak Belia Tempatan.

Menariknya, program Jelajah Kampung juga dijalankan melalui lawatan ke tempat pembuatan permainan tradisional seperti gasing, melawat usahawan madu kelulut, Karipap KingKong dan Rodziah turut melawat ke beberapa rumah tradisional sekitar Kapar.

Beberapa aktiviti sampingan lain adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, gubahan bunga sirih junjung, program tukar minyak hitam, pertandingan masakan tradisional.

Antara pengisian lain juga diadakan seperti interaktif batik, demo hiasan tudung saji, sukan rakyat (dam aji, tarik tali, futsal kain pelikat, gasing dan batu seremban) termasuk kenduri rakyat.


Pengarang :

Related posts

NGO Perlu Bantu Kerajaan Dalam Sektor Kesihatan

admin

KUIS kutip zakat RM1.5 juta, agih bantu mahasiswa asnaf

Mohd Naeem Mohamad Raffi

VEX 17 dedah pelajar UNISEL kepada industri luar