EXCOSELANGOR

Projek pembangunan komuniti fokus pertanian dan kesihatan

SERDANG, 21 JULAI: Kerajaan Negeri melancarkan projek perintis pembangunan komuniti di Pangsapuri PKNS Seri Kembangan dan Sri Indah bagi memfokuskan pembangunan pertanian bandar serta pendidikan melalui kesihatan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, projek dengan usahasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dijalankan dalam tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember ini.

Katanya, segala ilmu kemahiran dan kepakaran dipindahkan dari UPM kepada komuniti melalui pemindahan ilmu di lapangan bagi mencapai objektif projek berkenaan dalam menjadikan pangsapuri itu sebagai ‘garden in the city’.

“Projek perintis ini akan dijalankan bersama persatuan penduduk pangsapuri, sebagai usaha transformasi mewujudkan kebun bandar.

“Selain mengeratkan silaturahim, ia sebagai usaha mengupayakan rakyat, ekonomi dan kesihatan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Perintis Komuniti di Dewan Persatuan Penduduk pangsapuri PKNS, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah UCTC, Prof Madya Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah dan Pengerusi Persatuan Penduduk pangsapuri PKNS, Mohd Halizan Yusof.

Dr Siti Mariah berkata, persatuan penduduk sudah mengenal pasti beberapa kawasan lapang di antara 18 blok pangsapuri berkenaan untuk pelaksanaan projek.

“Kita sangat menggalakkan penduduk untuk mengambil bahagian dalam projek ini dengan mendaftar serta akan dipantau UPM dalam tempoh itu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, projek perintis itu akan dilebarkan ke kawasan lain di Selangor jika menerima sambutan menggalakkan.


Pengarang :