NASIONAL

Prototaip pertama mobiliti udara dijangka dilancar Oktober ini

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Prototaip pertama mobiliti udara dijangka dilancarkan seawal Oktober ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata pembangunan prototaip berkenaan melibatkan beberapa syarikat persendirian dan tidak membabitkan sebarang perbelanjaan duit kerajaan.

“Industri ‘air mobility’ adalah antara bidang keusahawanan baharu yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa terutamanya sektor infrastruktur, keselamatan dan pertanian.

“Kementerian hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membangunkan ekosistem industri ‘air mobility’ terutamanya dalam aspek menggubal polisi, peraturan dan sokongan industri tempatan bagi memenuhi keperluan untuk membangunkan industri ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang ingin tahu status perkembangan pembangunan model prototaip kereta terbang.

Mohd Redzuan berkata mobiliti udara itu akan mengaplikasikan teknologi terkini seperti dron, analisis data raya dan kecerdasan buatan yang pada masa ini telah berkembang pesat terutamanya di peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian juga sedang menjalankan libat urus dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam bagi membincangkan keperluan atau undang-undang yang perlu bagi mempersiapkan industri itu. – BERNAMA


Pengarang :