EXCOSELANGOR

PTK Desa bakal muktamad rancangan projek kampung dalam bandar

SHAH ALAM, 31 JULAI: Pelan Tindakan Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019-2023 (PTK Desa) sedang dimuktamad sebagai dokumen perancangan terperinci kepada agensi pelaksana bagi projek di 27 kampung dalam bandar.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pelan berkenaan mengandungi polisi, cadangan dan tindakan bersifat jangka masa pendek (quick win), sederhana dan masa panjang sehingga 2035.

Beliau berkata, pelaksanaannya juga sebagai inisiatif awal susulan penyediaan PTK melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan PLANMalaysia@Selangor.

“PTK Desa merangkumi cadangan yang akan memandu pemegang taruh dan agensi pelaksana mengenal pasti isu serta cadangan projek yang boleh dilaksanakan.

“Ia membantu dalam proses membuat keputusan secara berkesan dalam mengagihkan sumber peruntukan bagi meningkatkan kualiti persekitaran tempat tinggal, khususnya di kawasan perkampungan yang menerima tekanan perbandaran.

“Ini penting dalam meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk kampung dalam bandar daripada aspek fizikal, ekonomi dan sosial selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan, pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung inisiatif dimulakan Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat Pelan Halatuju Strategik Negeri Selangor 2035.

Antara kampung dikenalpasti ialah daerah Klang (14), Petaling (4), Gombak (3), Hulu Selangor (1), Kuala Selangor (2), Kuala Langat (2) dan Hulu Langat (1).

Pada masa sama, Rodziah berkata, pelan itu dapat mengenal pasti tindakan yang perlu diambil untuk memastikan kelestarian pembangunan kampung di Selangor, selain mencadangkan penstrukturan semula kampung yang dikenalpasti.

“71 projek dicadangkan bagi memacu hala tuju pembangunan ini dan 27 projek dikategorikan sebagai ‘quick win’, tujuh projek berimpak tinggi serta 37 projek sokongan yang akan dibangunkan secara berfasa dan satu projek sahaja sudah dilaksanakan agensi.

“Projek yang dicadangkan akan diselaras dan dilaksanakan oleh setiap peneraju berkaitan dengan inisiatif terbabit,” katanya.


Pengarang :