AGENDASUKANKINI

Pulau Pinang ditolak enam mata, lebur impian ke Liga Super 2020

SHAH ALAM, 21 JUL: Impian Pulau Pinang untuk beraksi di Liga Super musim hadapan musnah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak enam mata yang dikumpul musim ini selepas gagal menjelaskan tuntutan rasmi bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA dikeluarkan selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi Reinaldo.

“Jika mengikut kiraan mata, Pulau Pinang berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga berkongsi 30 mata dengan PDRM di tangga keempat, berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

“Mengikut arahan FIFA, FAM terpaksa mengumumkan bahawa pasukan Pulau Pinang secara serta merta dipotong enam mata dalam saingan Liga Premier 2019 menjadikan jumlah mata muktamad mereka adalah 24 mata, jatuh ke tangga ketujuh,” katanya dalam kenyataan.

Reinaldo Lobo beraksi bersama pasukan Pulau Pinang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Stuart berkata, FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan walaupun telah mengemukakan tiga rayuan sebelum ini.

Menurutnya, FAP sudah menyelesaikan bayarannya tetapi disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

“Dalam hal ini, FAM amat bersimpati dengan FAP dan pada masa sama tetap menghargai usaha yang dilakukan oleh pengurusan baharu FAP untuk cuba menyelesaikan juga kes lama ini dengan berjaya membayar sebanyak USD97,085.05 yang membabitkan tunggakan gaji akibat kecuaian pengurusan lama mengurus kes bekas pemain importnya itu.

“Namun, hanya akibat sedikit kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing mengikut kadar semasa dan kelewatan proses menyelesaikan baki tuntutan sebanyak USD4,444.11, mereka telah menerima hukuman daripada FIFA ini,” katanya.


Pengarang :