NASIONAL

Pusat Aduan Menteri KPKT pertama di Malaysia di Bagan Ajam

BUTTERWORTH, 13 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuka sebuah Pusat Aduan Menteri KPKT yang pertama di Malaysia di Pulau Pinang bagi membantu orang ramai yang mahu membuat aduan atau mendapatkan maklumat berhubung kementerian itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, Pusat Aduan Menteri KPKT yang dibuka di Taman Intan, Bagan Ajam di sini itu bukan hanya untuk penduduk di negeri ini sebaliknya kepada orang ramai di wilayah utara seperti Kedah dan Perlis.

“Pusat aduan itu juga akan menjadi antara saluran kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan prosedur dalam isu perumahan ,kerajaan tempatan, pengurusan sisa pepejal dan bomba.

“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lain dan memberi cadangan berkaitan kerajaan di pusat aduan yang dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 5.00 petang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aduan Menteri KPKT di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan setiap aduan yang diterima, harus ditangani dengan baik bagi membolehkan semua permasalahan itu diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Zuraida berkata pusat aduan itu akan dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu penggerak dasar komuniti negara dan buat permulaan dibantu oleh pegawai KPKT bagi melancarkan operasi pusat itu.

Pihaknya juga merancang untuk membuka beberapa buah lagi pusat aduan itu di wilayah Selatan, Pantai Timur, Tengah serta Sabah dan Sarawak pada masa hadapan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan KPKT serta kerajaan.

“Ketika ini, kita ada 50 Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) penggerak komuniti negara di seluruh Malaysia dan saya percaya mereka dapat membantu kerajaan untuk melancarkan operasi pusat aduan itu di wilayah lain. Hari ini pun ada wakil NGO itu hadir untuk melihat pelancaran serta bagaimana pusat berkenaan beroperasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata, bukan mudah untuk Kerajaan Persekutuan menghapuskan Akta Hasutan namun kerajaan ketika ini dalam proses untuk menghapuskannya seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Dalam Akta Hasutan itu sendiri ada beberapa akta lain lagi jadi ia perlu dikaji secara teliti dan kerajaan sekarang ini dalam proses untuk menghapuskannya namun perlu dibuat secara lebih terperinci kerana ia membabitkan undang-undang. Proses ini memang akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung desakan orang ramai yang mahukan Akta Hasutan dihapuskan segera selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

-BERNAMA


Pengarang :