NASIONAL

Pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja sebagai inisiatif CSR

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Sektor korporat diminta menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja seperti sambil menyelam minum air kerana selain memastikan kanak-kanak di tempat selamat, tenaga kerja wanita juga akan meningkat.

“Oleh itu, saya merayu kepada sektor korporat di sini, terutamanya yang mampu supaya mengadakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi menyediakan penjagaan kanak-kanak bukan sahaja untuk petugas tetapi juga masyarakat B40 (yang tinggal) berdekatan pejabat anda,” katanya semasa berucap pada majlis Anugerah CSR Malaysia 2019 di sini hari ini.

Yeoh berkata, kemudahan berkenaan akan memberi manfaat kepada pekerja wanita yang mempunyai anak kecil dan perlu bekerja dalam tempoh yang lama.

Anugerah CSR Malaysia 2019, anjuran CSR Malaysia, merupakan inisiatif Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemampanan dan Korporat Malaysia.

Pada majlis itu, 50 penerima anugerah diberi penghormatan di atas pencapaian dan usaha mereka dalam mewujudkan Malaysia yang lebih baik melalui inisiatif CSR.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di atas kerja komunitinya yang cemerlang. – BERNAMA


Pengarang :