SELANGOR

Pusat Jagaan Titian OKU Nur pernah terputus bekalan makanan

RAWANG, 15 JUL: Pernah terputus bekalan makanan tidak mematahkan semangat Pengasas dan Penyelia Pusat Jagaan Titian OKU Nur Normah Adlan, untuk terus membantu golongan kurang bernasib baik itu meneruskan kehidupan.

Katanya, beliau terpaksa ‘menebalkan muka’ meminta bantuan kewangan kepada rakan-rakan dan pihak berkaitan.

“Saya tidak kisah. Malu pun tiada masalah, asalkan penghuni-penghuni di sini cukup makan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Berusia 48, Nur Normah sudah menguruskan pusat jagaan itu selama 14 tahun.

Pelbagai pengalaman pahit dan manis dirakam dalam tempoh itu, namun tetap terus beristiqamah dengan niatnya membela golongan terpinggir yang terdiri daripada golongan OKU, fizikal dan mental serta warga emas.

Pusat jagaan di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang, Selangor itu menempatkan 65 penghuni terdiri daripada lelaki, perempuan dan enam kanak-kanak dan warga emas sehingga 97 tahun.

“Apa yang paling saya risau adalah tempat tinggal kerana kami disini masih menyewa. Pusat ini menempatkan dua buah rumah lelaki dan perempuan.

“Ini kali kedua kami berpindah, sebelum ini di Kuala Lumpur. Saya risau kerana takut akan berpindah lagi. Lagipun kos sewa untuk kedua-dua rumah ini mahal sekitar RM3,000 sebulan,” katanya.

Pada masa sama, Nur Normah berkata, pusat jagaan itu turut memerlukan dana berterusan bagi meneruskan operasi.

“Kita ada terima dana dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan beberapa institusi lain. Tetapi masih tidak mencukupi untuk meneruskan kelangsungan operasi.

“Bukan hanya bekalan makanan tetapi kita juga perlukan dana untuk kos rawatan dan juga ubat-ubatan penghuni kerana golongan ini memerlukan penjagaan rapi serta ada diantara mereka yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Melayu Batu 16, Adnan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan keperluan masyarakat dan cuba membantu dengan menyalurkan sebarang permasalahan kepada agensi berkenaan.

“Kita boleh panjangkan usul dalam isu penempatan dan bantuan, saya sentiasa menyokong permohonan itu dan akan mencuba melakukan yang terbaik,” katanya.


Pengarang :