Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakaman CCTV tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Sebarang rakaman video termasuk daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam atau hak persendirian tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, penyebaran rakaman sedemikian menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan apabila pemiliknya berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Berkenaan kandungan CCTV seperti itu (termasuk rakaman hotel) tertakluk kepada perlindungan data peribadi, di mana pihak pengurusan hotel perlu berdaftar dengan JPDP supaya maklumat semua rakaman itu dilindungi,” katanya pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang ingin tahu adakah penyebaran video daripada rakaman CCTV atau hak persendirian seperti premis hotel dikira sebagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

Berhubung kesalahan di bawah akta berkenaan, Eddin Syazlee berkata, JPDP menerima 680 aduan daripada subjek data bagi tahun 2018 dengan 46 peratus kes berjaya diselesaikan dan ditutup.

Jenis kesalahan paling kerap diterima pula ialah aduan berkaitan pelanggaran tujuh prinsip perlindungan data peribadi terutama prinsip am, penzahiran dan keselamatan, katanya.

“Golongan pengguna data yang merekodkan aduan tertinggi adalah golongan institusi perbankan dan insurans serta aduan berkaitan penzahiran data peribadi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran (ejen pengutip hutang) dan pemasaran langsung,” katanya.

Beliau berkata Akta 709 itu penting dalam meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan perundangan mengenai perlindungan data peribadi seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand, Australia, Macau, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.

-BERNAMA


Pengarang :