EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Rakyat perlu dididik tidak gunakan beg plastik

SHAH ALAM, 30 JUL: Selangor tidak boleh menutup kilang beg plastik ketika ini kerana ia merupakan hak perniagaan peniaga masing-masing.

Bagaimanapun, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kebarangkalian kilang berkenaan akan gulung tikar dengan sendiri adalah tinggi jika kurangnya permintaan daripada pelanggan.

Justeru, katanya, semua pihak perlu mendidik rakyat terlebih dahulu untuk tidak mengunakan beg plastik.

“Kita tidak boleh tutup kilang beg plastik buat sekarang sebab itu hak peniagaan masing-masing. Mereka (peniaga) kata itu hak asasi mereka.

“Tetapi, kita boleh mendidik rakyat dulu untuk tidak menguna beg plastik. Pada masa yang sama kita mempertingkatkan kesedaran rakyat untuk membawa beg kitar semula, guna biodegradable bag dan beg kertas dan sebagainya.

“Kalau tiada pemintaan beg plastik maka tiada wujud kilang plastik atau rakyat tidak lagi guna, secara automatik kilang beg plastik akan terhenti operasi atau gulung tikar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Loy Sian berkata demikian bagi mengulas kenyataannya di Dewan Undangan Negeri semalam berhubung isu Selangor tidak berhasrat menutup kilang plastik yang sudah beroperasi di negeri itu walaupun kempen bebas beg plastik dilaksanakan sejak 2009.

Kenyataan berkenaan menimbulkan persoalan dari pihak Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan pencinta alam sekitar.

Sehubungan itu, Loy Sian mahu pihak PEKA supaya membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mengadakan kempen tanpa beg plastik daripada usaha untuk menutup kilang berkenaan.

Terdahulu, Presiden PEKA, Shariffa Sabrina Syed Akil membidas kenyataan EXCO berkenaan dan berpendapat Selangor sepatutnya mengharamkan terus kilang yang menghasilkan bahan seperti itu.

“Kita tidak boleh samakan kilang plastik dengan rokok kerana pembuangan plastik akan mencemarkan bumi untuk jangka masa beratus atau beribu tahun.

“Perokok mudaratkan dirinya sendiri. Jika mahu masyarakat berhenti menggunakan beg plastik, satu pendekatan yang drastik patut dilakukan kerana manusia ini ramai yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :