Sebahagian daripada ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar parlimen menggesa pilihan raya umum diadakan,- Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Rakyat tuntut adakan Pilihan Raya Umum di London

LONDON, 26 JUL : Ribuan orang berkumpul di luar parlimen di tengah London pada Khamis menggesa pilihan raya umum diadakan, lapor agensi berita Anadolu.

Demonstrasi anjuran parti pembangkang itu, turut disertai pemimpinnya, Jeremy Corbyn, menggesa Perdana Menteri baharu Boris Johnson mengadakan pilihan raya umum dan memberi rakyat kuasa untuk memilih kerajaan mereka sendiri.

Sambil membawa sepanduk “Katakan tidak kepada rasis. Tidak Kepada Boris Johnson!”, penunjuk perasaan melaungkan nama Corbyn serta nama pemimpin pro-Kesatuan Eropah dan pro-Buruh.

“Kami ada perdana menteri yang dipilih oleh segelintir orang, hanya mewakili beberapa parti bukan semua. Sudah tiba masa untuk mengadakan pilihan raya beri rakyat pilih pemimpin mereka,” kata Corbyn.

“Boris Johnson menunjukkan yang beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Brexit, tidak merancang untuk memulihkan semula perkhidmatan awam dan menangani masalah perubahan iklim. Dia hanya berkempen dengan menjanjikan pemberian cukai kepada orang kaya. Dia hanya akan bekerja untuk segelintir orang. Sedangkan kami bekerja untuk semua.”

Pemimpin pembangkang mempertikaikan pemilihan Johnson hanya membabitkan 92,000 anggota Parti Konservatif, untuk memimpin sebuah negara yang mempunyai lebih 60 juta penduduk, beliau tiada mandat untuk mentadbir.

Namun, Johnson berulang kali menyatakan beliau akan mengeluarkan United Kingdom (UK) daripada Kesatuan Eropah (EU) menjelang 31 Oktober.

Johnson dipilih sebagai perdana menteri pada Selasa selepas menerima 92,153 undi. -BERNAMA


Pengarang :