AGENDASUKANKINI

Ratu terjun negara terlepas peluang pingat kedua

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Ratu terjun negara Pandelela Rinong hari ini terlepas peluang untuk memenangi pingat kedua, di Kejohanan Terjun Dunia FINA di Gwanju, Korea Selatan, selepas menduduki tangga kelima dalam acara terjun 10 meter (m) platform hari ini.

Selepas memastikan tiket untuk layak Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila layak ke final, Pandelela hanya mengutip sejumlah 349.25 mata selepas lima terjunan, untuk menduduki tangga kelima daripada 12 peserta.

Penerjun 26 tahun dari Sarawak itu mengutip 70.50 dan 73.95 mata pada terjunan pertama dan kedua untuk menduduki tempat kedua, namun jatuh ke kedudukan keenam selepas terjunan ketiga dan keempat dengan masing-masing, 70.40 dan 62.40 mata.

Pandelela menamatkan terjunan kelima dengan 72.00 mata, namun hanya naik ke tempat kelima kedudukan keseluruhan.

Penerjun China, Chen Yuxi dan Lu Wei masing-masing menang emas dan perak, selepas mengumpul 439.00 mata dan 377.80 mata.

Pada Isnin, Pandelela dan Leong Mun Yee, menempah tiket pertama ke Olimpik 2020 selepas memenangi pingat perak dalam acara terjun 10m platform berirama wanita, dengan mengutip 312.72 mata selepas lima terjunan.

Pandelela meneruskan prestasi baiknya semalam, dalam acara terjun 10m platform selepas menduduki tempat ke-12 terbaik individu dan layak ke final serta secara automatiknya layak ke Olimpik.

Keputusan itu merupakan lebih baik sedikit daripada keputusan dalam acara yang sama di Rom (2009) dan Barcelona (2013) yang mereka memenangi pingat gangsa.

Namun Pandelela gagal memperbaiki rekodnya di edisi 2015 di Kazan di mana beliau menang pingat gangsa pada acara terjun 10m platform individu.

Untuk rekod, Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform di Sukan Olimpik 2012 di London, menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat sukan Olimpik dan meneruskan prestasi baiknya di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memenangi pingat perak bagi acara terjun 10m platform berirama bersama Cheong Jun Hoong.

-BERNAMA


Pengarang :