AGENDANASIONAL

Remaja maut kemalangan di lebuh raya

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seorang remaja lelaki maut manakala dua rakannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 430.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Beruntung, awal hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Azman Ab Rahman berkata, Mohammad Fakrurraziq Eddy Izzudin, 18, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha 13LC ditunggang melanggar sebuah lori yang berada di lorong kiri dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu.

“Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum dilanggar dua rakannya berusia 18 dan 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha Lagenda.

“Sebuah kereta jenis Nissan Sentra dipandu lelaki berusia 52 tahun turut melanggar mangsa dan rakannya selepas gagal mengelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 37 tahun dan pemandu kereta terbabit tidak cedera.

Mayat Mohammad Fakrurraziq dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala dua rakanya yang cedera juga dihantar ke hospital sama.

-BERNAMA


Pengarang :