KUALA KANGSAR, 14 Julai — Seekor kambing ‘handsome’ yang dinamakan Remos (kiri) menjadi tular baru-baru ini kerana keunikan sifatnya yang mempunyai jambul yang berbelah tengah serta janggut panjang berwarna putih kekuningan. Kambing berbulu putih itu merupakan satu daripada 17 ekor baka Saanen yang ada di ladang Muhammad Livestock Farm yang kini tular sehingga ke negara jiran. Menurut penternak Ahmad M.Fadzir, 21, perkongsian beberapa keping gambar kambing olehnya di Facebook Muhammad Livestock Farm pada 6 Julai mendapat perhatian ramai netizen sehingga menjadi tular. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
RENCANA

Remos, si kacak yang pemalu

KUALA KANGSAR, 14 JULAI: Di sebuah ladang di Enggor di sini terdapat seekor kambing yang dilabel sebagai kambing ‘handsome’ dek kerana remos atau jambulnya yang berbelah tengah serta janggut panjang berwarna putih kekuningan.

Kambing berbulu putih bersih itu merupakan satu daripada 17 ekor baka Saanen yang ada di ladang Muhammad Livestock Farm yang kini tular sehingga ke negara jiran.

Seorang daripada pengendali ladang itu, Ahmad M.Fadzir, 21, graduan diploma perakaunan dari Universiti Sultan Azlan Shah di sini berkata sesuai dengan rupanya, kambing berumur 11 bulan itu diberi nama Remos.

Ketika diambil daripada pembekal di Terengganu pada Mac lalu, tiada sebarang keunikan atau keistimewaan yang dikesan.

“Hanya bulan lepas saya ambil gambar kambing ini menggunakan kamera (sebelum ini guna telefon), barulah saya perasan yang ia lain daripada yang lain. Kemudian saya muat naik dalam Facebook,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di sini.

Ahmad berkata, satu lagi yang menarik perhatian pada haiwan itu ialah sifat pemalunya lebih-lebih lagi bila ia berdepan dengan orang yang baru ketemu.

“Kadang-kadang kalau saya sendiri hendak pegang pun, ia lari dan menjauhkan diri,” katanya.

Ternyata, Remos bukan sahaja kambing yang ‘handsome’, tetapi pemalu kerana usaha Bernama untuk merakam gambarnya tidak semudah dijangka.
Perkongsian beberapa keping gambar Remos oleh Ahmad di Facebook Muhammad Livestock Farm baru-baru ini mendapat perhatian ramai netizen sehingga menjadi tular.

Ahmad yang menguruskan ladang itu bersama kembarnya Muhammad, berkata pihaknya tidak bercadang menjual Remos walaupun banyak pihak menawarkan harga menarik.

“Saya tidak fikir hendak jual kerana mahu jadikan ia bapa (baka jantan). Selain itu kambing ini juga telah menjadi ikon kepada ladang kami,” katanya.

Ahmad dan kembarnya mengambil alih ladang itu daripada ayah mereka sekitar tahun 2016,

-BERNAMA


Pengarang :