AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan para pelabur menunggu langkah pengurangkan kadar faedah AS, seperti dijangkakan banyak pihak, untuk mendapat petunjuk yang lebih jelas.

Pada 9.05 pagi, ringgit rendah kepada 4.1120/1170 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1130, pada Jumaat minggu lepas.

Peniaga berkata, peserta pasaran berhati-hati menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar AS bagi suku kedua yang akan dikeluarkan akhir minggu ini, yang berperanan penting untuk mendorong potensi Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah.

Selain itu, peningkatan ketegangan di Timur Tengah menjejaskan sentimen dalam pasaran tempatan.

Di peringkat tempatan pula, beliau berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun juga akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat dan dijangkakan angka itu meningkat, walaupun inflasi keseluruhan untuk tahun ini mungkin kekal boleh urus.

Pada Mei, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan sama tahun lepas, yang didorong oleh kenaikan harga di dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan serta kumpulan bahan api lain.

Secara keseluruhan, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0202/0243 daripada 3.0236/0269 ketika ditutup pada Jumaat serta tinggi berbanding yen kepada 3.8085/8142 daripada 3.8165/8207.

Mata wang tempatan juga naik pound Britain kepada 5.1408/1475 daripada 5.1474/1519 pada Jumaat lepas, dan stabil berbanding euro kepada 4.6091/6152 daripada 4.6184/6234.

– BERNAMA


Pengarang :