AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini dengan mata wang negara itu terus kukuh ekoran pasaran menunggu hasil daripada mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari, hari ini.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1250/1290 daripada 4.1230/1270 semasa ditutup pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun Fed dilihat hampir pasti untuk melaksanakan pengurangan 25 mata asas dalam Kadar Dana Fed, kenyataan selepas keputusan mereka malam ini akan diteliti.

“Terdapat peluang Fed mungkin mahu mengambil langkah yang amat berhati-hati untuk mengurangkan kadar berikutan ekonomi, setakat ini, mencatatkan prestasi yang agak baik.

“Jawatankuasa itu mahu menunggu lebih banyak bukti untuk mewajarkan pengurangan yang agresif. Oleh itu, ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS dalam masa terdekat, sementara menunggu mesyuarat FOMC,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit dijangka berada pada sekitar paras halangan semasa pada RM4.1287 dengan paras halangan akan datang pada RM4.146 berbanding dolar AS.

Secara keseluruhannya, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound British.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0085/0125 daripada 3.0062/0096 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.6006/6055 daripada 4.5860/5913.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen kepada 3.7966/8010 daripada 3.7951/7995, bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.0127/0180 daripada 5.0849/0915 sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :