EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US

 

KUALA LUMPUR, 9 JUL : Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar US hari ini, selari dengan kebanyakan mata wang Asia, berikutan lebih banyak pelabur beralih minat ke arah mata wang selamat, kata seorang peniaga.

Pada 9.20 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1410/1430 berbanding dolar US daripada 4.1390/1420 semasa ditutup semalam.

Beliau berkata dolar US meneruskan momentum menaik dari Isnin selepas pengeluaran data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh minggu lepas, yang menurunkan jangkaan pelabur terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Ringgit bagaimanapun didagangkan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8040/8069 daripada 3.8158/8189 pada Isnin tetapi menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0444/0463 dari 3.0436/0463 dan naik berbanding euro kepada 4.6437/6476 daripada 4.6473/6511 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga didagangkan lebih tinggi berbanding pound pada 5.1820/1854 daripada 5.1882/1937.

-BERNAMA


Pengarang :