NASIONAL

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini ekoran kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan global dan penurunan harga minyak mentah.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan berada pada 4.1080/1130 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1070/1100 semalam.

Minyak mentah Brent hari ini turun 0.21 peratus kepada US$66.34 setong.

Seorang peniaga berkata harga minyak turun selepas China mencatatkan pertumbuhan ekonomi suku tahunan yang perlahan sekurang-kurangnya dalam tempoh 27 tahun yang mencetuskan kebimbangan tentang permintaan daripada pengimport minyak mentah terbesar dunia itu.

Sementara itu, dolar AS diniagakan tinggi dalam dagangan kecil apabila para pelabur bersiap sedia dengan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah semasa mesyuarat dasarnya minggu depan.

“Pasaran juga akan menunggu pengumuman data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian AS yang akan datang, serta laporan Beige Book Fed mengenai keadaan ekonomi AS, yang dijadual dikeluarkan minggu ini,” katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0282/0336 daripada 3.0285/0319 pada Selasa dan naik berbanding yen kepada 3.8055/8112 daripada 3.8074/8112.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1399/1478 daripada 5.1580/1634 dan menokok berbanding euro kepada 4.6244/6312 daripada 4.6319/6365.

-BERNAMA


Pengarang :