AGENDANASIONAL

Ringgit dijangka diniaga 4.10 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Ringgit mungkin akan didagangkan dalam jajaran sempit antara 4.10 dan 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, dengan syarat tidak wujud sebarang masalah baharu pada krisis perdagangan antara AS dan China.

Rakan Pengurusan Vanguard Markets, Stephen Innes berkata ini juga bergantung kepada tindakan Rizab Persekutuan serta bagaimana mereka akan memacu pasaran, sebaik sahaja Jawatankuasa Mesyuarat Terbuka Persekutuan (FOMC) mengeluarkan kenyataan mereka pada bulan ini.

“Pandangan jangka pendek saya adalah bersifat bertahan memandangkan keuntungan jangka pendek dolar US dipikul sepenuhnya oleh Rizab Persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Innes lagi, selain mesyuarat FOMC, para peniaga juga akan memantau rapat mesyuarat dasar monetari Majlis Pentadbiran Bank Pusat Eropah (ECB) yang akan berlangsung pada 25 Julai ini, ia mungkin akan mengukuhkan dolar US dengan pelabur-pelabur mengharapkan kenyataan yang lebih neutral daripada ECB.

Beliau menjangkakan ringgit akan menguji tahap 4.10 berbanding dolar US pada minggu akan datang tetapi kelembapan pasaran minyak serta data ekonomi AS yang dijangka lebih kukuh akan menyebabkan ringgit terperosok.

Sementara itu, dari segi domestik, penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata indeks harga pengguna Malaysia pada Jun ini dijangka naik, walaupun secara keseluruhan inflasi utama bagi tahun berkaitan akan kekal terurus.

Katanya, dengan risiko tempatan masih terkawal, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau risiko kemerosotan luaran, selaras dengan dasar akomodatifnya.

“Untuk minggu depan, tahap 4.09, dilihat mampu memberikan sokongan jangka pendek bagi dolar US-ringgit, manakala rintangan dilihat pada purata pergerakan 100 hari iaitu disekitar tahap 4.12,” kata Tan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar US disebabkan peningkatan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, krisis AS-China serta pergerakan harga minyak.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, ringgit adalah tidak berubah pada 4.1100/1130 daripada 4.1110/1150 berbanding dolar US.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Nilai ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0236/0269 daripada 3.0217/0251 yang dicatatkan dalam Jumaat sebelum ini dan ia melemah berbanding yen Jepun kepada 3.8165/8207 daripada 3.7910/7954.

Ia bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 5.1474/1519 daripada 5.1511/1586 dan naik berbanding euro kepada 4.6184/6234 daripada 4.6273/6323.

-BERNAMA


Pengarang :