EKONOMI

Ringgit dijangka diniagakan pada nilai semasa

KUALA LUMPUR, 13 JUL : Ringgit dijangka diniagakan pada nilai semasa antara 4.11 dan 4.13 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, sekiranya tiada sebarang kejutan besar yang akan menjejaskan sentimen risiko global secara ketara, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata pasaran juga mungkin dipengaruhi sentimen meluas berkaitan aset Asia, dengan China akan mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar suku keduanya selain petunjuk ekonomi penting lain pada Isnin 15 Julai.

“Berdasarkan kebimbangan sedia ada terhadap keadaan ekonomi global yang merosot, kelembapan lebih ketara dalam ekonomi China boleh meningkatkan penghindaran risiko dan menjejaskan mata wang negara Asia, termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jangkaan pasaran ke atas keputusan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang akan dibuat bulan ini boleh memberi kesan kepada prestasi jangka pendek dolar AS.

“Harapan tinggi terhadap pengurangan kadar faedah AS yang lebih besar berbanding jangkaan boleh menjejaskan dolar AS sekali gus mendorong mata wang Asia dan negara G10 mencatatkan peningkatan nilai,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit memulakan tempoh itu dengan prestasi rendah memandangkan sentimen dolar AS menjadi lebih baik susulan pengumuman data pekerjaan AS yang kukuh.

Laporan berkenaan telah merendahkan jangkaan pelabur ke atas pengurangan kadar faedah oleh Fed bagaimanapun pengerusi, Jerome Powell kemudiannya membuat kenyataan bahawa data tersebut tidak mengubah unjurannya ke atas ekonomi itu dan kadar faedah.

Pada 9 Julai, keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus agak tidak menjejaskan unit tempatan memandangkan pasaran sebahagian besarnya telah menjangkakan keputusan dasar monetari tersebut.

Ringgit bagaimanapun meningkat semula pada Rabu, susulan petunjuk terkini bahawa Fed akan mengurangkan kadar faedah pada akhir Julai selain didorong kenaikan harga minyak dunia.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.1110/1150 daripada 4.1340/1370 berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan juga didagangkan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0217/0251 daripada 3.0460/0493 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas serta mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7910/7954 daripada 3.8267 / 8306.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1511/1586 daripada 5.1882/1932 dan stabil berbanding euro kepada 4.6273/6323 daripada 4.6557/6607.

-BERNAMA


Pengarang :