EKONOMI

Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong harga minyak dan komoditi lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada paras 4.1170/1200 berbanding dolar daripada 4.1180/1190 semasa ditutup pada Selasa.

Beliau berkata berikutan ketegangan meningkat di Timur Tengah selepas Iran merampas sebuah kapal tangki minyak di Teluk Parsi, harga minyak dijangka terus meningkat disebabkan kebimbangan akan berlaku gangguan bekalan dengan ketara.

Ketegangan itu mungkin memberi manfaat kepada pasaran minyak buat sementara waktu. Bagaimanapun, ketidaktentuan akan memberi kesan lebih tinggi ke atas mata wang (berbanding dengan desakan),” katanya.

Bagi komoditi, niaga hadapan minyak sawit telah kembali pulih daripada kerugian sebelum ini didorong jangkaan permintaan akan meningkat dan pengukuhan minyak makan berkaitan.

“Ini merupakan tanda-tanda pemulihan bagi minyak sawit kita, dan sebagaimana yang kita tahu harga komoditi merupakan satu daripada faktor yang menyokong mata wang kita,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0170/0196 daripada 3.0177/0189 semalam, tetapi turun berbanding yen kepada 3.8099/8138 daripada 3.8056/8079.

Mata wang tempatan turut susut berbanding pound Britain kepada 5.1343/1397 daripada 5.1220/1244, tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.5847/5897 daripada 4.6023/6042 sebelumnya. – BERNAMA


Pengarang :