NASIONAL

Ringgit kekal berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, di tengah-tengah kebimbangan pasaran mengenai pertumbuhan ekonomi global serta tempoh ‘bertenang’ perang perdagangan AS-China, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada paras 4.1350/1380 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1350/1380 pada Rabu.

Mengulas prestasi ringgit, Rakan Pengurus Vanguard Markets Stephen Innes berkata walaupun berlatarbelakangkan kebimbangan pasaran, para pelabur sebaliknya lebih berminat untuk mendapatkan pulangan susulan kejatuhan hasil Kertas Perbendaharaan 10 tahun.

“Ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih ‘mesra’ risiko dan seterusnya mendorong kepada rangsangan terhadap ringgit pada hari ini,” katanya menerusi emel kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8369/8407 daripada 3.8379/8411 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6668/6714 daripada 4.6672/6722.

Unit tempatan itu bagaimanapun turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0501/0527 daripada 3.0499/0532 pada Rabu dan rendah berbanding pound kepada 5.2018/2064 daripada 5.1973/1035, sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :