NASIONAL

Riza Aziz didakwa lima tuduhan pengubahan wang haram USD248 juta

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah USD248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza, 42, pemilik syarikat Red Granite Pictures, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozina Ayob selepas semua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah USD1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, USA bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 April 2011 dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, USA.

Riza juga dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan USD9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September 2012 dan Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah USD133 juta dan USD 60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapore bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temaesk Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah USD45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Riza diwakili barisan peguam diketuai oleh Datuk K. Kumaraendran. – BERNAMA


Pengarang :