Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
EKONOMINASIONAL

Rizab antarabangsa BNM meningkat US$102.7 bilion pada 28 Jun

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$102.7 bilion setakat 28 Jun, 2019 daripada US$102.6 bilion pada 14 Jun lepas.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing sebanyak US$96.6 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$1.1 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.1 bilion), emas (US$1.8 bilion) dan lain-lain aset rizab (US$2.1 bilion).

Menurut BNM, aset itu termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM425.42 bilion, kertas Kerajaan Malaysia (RM2.28 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM240.57 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM7.01 bilion), hartanah – tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM12.56 billion).

Modal berbayar dan liabiliti pula merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM140.33 bilion), mata wang dalam edaran (RM110.12 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM151.18 bilion), deposit oleh kerajaan Persekutuan (RM23.41 bilion), lain-lain deposit (RM1.15 bilion), kertas Bank Negara (RM15.30 bilion), peruntukan SDR (RM7.72 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.34 bilion). – BERNAMA


Pengarang :