BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Rizab Selangor catat RM2.38 bilion sehingga 30 Jun

SHAH ALAM, 29 JULAI: Rizab Kerajaan Negeri mencatatkan peningkatan RM2.38 bilion sehingga 30 Jun lalu, berbanding RM2.13 bilion pada Disember 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rizab berkenaan terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

“Jumlah terkini rizab Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2019 adalah RM2.38 bilion terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM721.19 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1.66 bilion.

“Manakala baki rizab pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM2.13 bilion,” katanya menjawab pertanyaan mulut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, pada Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini.

Amirudin berkata, baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencatatkan pengurangan 16.39 peratus atau RM467 juta, berkurang dari RM2.84 bilion kepada RM2.38 bilion berbanding tempoh sama, pada 2018.

Manakala katanya, baki Akaun Hasil Disatukan pula, merekodkan pengurangan dari RM1.6 bilion kepada RM721.19 juta, berkurang sebanyak 55.35 peratus atau RM894.25 juta berbanding tempoh sama, pada tahun lalu.

“Sehingga Disember 2019, Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM2.64 bilion dan sasaran hasil adalah sebanyak RM2.2 bilion yang mana defisit itu akan dibiayai dengan menggunakan Akaun Hasil Disatukan.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif dalam mengawal dan melaksanakan perbelanjaan berdasarkan unjuran keselurahan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, prestasi kutipan hasil bagi tempoh enam bulan adalah 64.74 peratus, iaitu RM1.42 bilion daripada sasaran RM2.2 bilion.

“Prestasi perbelanjaan mengurus sehingga tempoh ini juga berjumlah RM565.55 juta iaitu 44.18 peratus daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1.28 bilion. Secara perbandingan, perbelanjaan mengurus pada 2018 adalah RM1.34 bilion.

“Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan mengurus sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 95 peratus daripada jumlah peruntukan. Prestasi perbelanjaan pembangunan sehingga 30 Jun 2019 adalah RM661.40 juta atau 51.67 peratus daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1.28 bilion.

“Secara perbandingannya, perbelanjaan pembangunan pada 2018 adalah sebanyak RM1.4 bilion. Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan pembangunan sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 90 peratus daripada jumlah peruntukan,” katanya.


Pengarang :