Sumber: Instagram @rizalman71
PERSONALITIRENCANA

Rizalman manfaat Instagram bantu peniaga promosi produk

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Walaupun berdepan kekangan waktu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim masih meluangkan masa membantu peniaga mempromosi produk mereka di laman sosial miliknya.

Tidak meletakkan sebarang bayaran, beliau menyifatkan usaha kecilnya memuat naik video berdurasi sekitar 15 saat di ruangan ‘instagram stories’ bagi mengetengahkan sesuatu produk mampu membantu peniaga tempatan menjana pendapatan lebih tinggi.

Beliau yang mula aktif melakukan promosi di Instagram miliknya, pada Ramadan lalu turut mengakui laman sosial itu adalah landasan terbaik dan cekap dalam mengembangkan perniagaan selain sebagai tanggungjawab sosial bagi membantu masyarakat.

“Saya tidak ambil sebarang bayaran, kita niat nak bantu kerana Allah dan tidak sangka semakin hari semakin bertambah barang yang dihantar. Saya percaya jika landasan ini digunakan dengan baik, ia akan memberi kebaikan kepada saya dan orang lain.

“Saya akan melakukan ‘review’ pada masa terluang. Sehari lebih daripada 10 barang dan makanan yang dihantar ke butik saya,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di butiknya di Jalan Imbi di sini.

Lebih selesa bertutur dalam loghat utara ketika membuat promosi, beliau berkata, antara produk yang diterima adalah barangan kaca, kosmetik dan makanan.

“Saya juga terpaksa menolak buat ‘review’ makanan basah macam kuih muih dan sebagainya sebab barang seperti ini kena buat ‘review’ cepat sebab ada tempoh luputnya, takut bila dah lapang makanan itu pula sudah tidak segar lagi,” katanya yang mempunyai lebih 660,000 pengikut Instagram.

Rizalman yang dilihat kreatif dalam penyampaian membuat promosi barangan yang diterima kini terpaksa menangguhkan sementara waktu aktiviti itu susulan kekangan masa.

Beliau kini terbabit dengan persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sekarang saya hentikan dulu membuat ‘review’ semua produk dan akan sambung semula selepas semua acara ini selesai,” katanya.

Berkongsi berkenaan perancangannya dalam masa terdekat, anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau akan melancarkan koleksi terbaharu beg tangannya melalui kolaborasi bersama satu jenama tempatan.

“Ini kali kedua kolaborasi saya bersama jenama berkenaan dan kali ini lebih banyak pilihan. Selain itu, saya dalam perancangan untuk mengeluarkan produk makanan tambahan jenama sendiri, kini saya masih lagi ‘test’ produk itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :