Lim Guan Eng dijadual bentang Belajawan 2020 pada 11 Oktober 2019.
AGENDANASIONAL

RM1 bilion naik taraf fasiliti mesin pengimbas

LABUAN, 21 JUL : Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan hampir RM1 bilion untuk menaik taraf fasiliti mesin pengimbas di lokasi-lokasi utama pintu masuk negara.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu juga adalah untuk pembelian 76 mesin pengimbas baharu dan 32 bot peronda bagi memantapkan lagi aktiviti kawalan perbatasan negara.

Katanya perolehan untuk fasiliti dan aset ini akan dibuat secara tender terbuka.

Guan Eng berkata kementeriannya mengakui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memainkan peranan penting dalam pengumpulan hasil untuk kerajaan bagi membantu perkhidmatan awam dan operasi kerajaan dapat berjalan secara lancar.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan mengambil berat terhadap kemampuan dan keperluan JKDM dalam melaksanakan tugas yang penting ini, secara efisien, profesional dan bersih,” katanya pada majlis perasmian Menaik Taraf Pejabat Bahagian Perkastaman dan Pengurusan serta Pelancaran Sistem e-Clearance di bangunan Kastam Labuan hari ini.

Guan Eng berkata pengenalan sistem e-Clearance Labuan ini membolehkan urusan boleh dilakukan secara dalam talian.

“Ini adalah satu daripada contoh inovasi teknologi dan penambahbaikan yang sedang dilakukan ke arah itu,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif JKDM Labuan yang dapat membantu dan menjadikan agensi itu lebih berdaya maju dalam era mencabar ini.

Guan Eng berkata kerajaan sentiasa meningkatkan kemampuan dan capaian JKDM, dan memastikan tahap layanan yang diberikan kepada rakyat turut ditingkatkan.

“Adalah diharapkan dengan penaiktarafan yang dilaksanakan sendiri oleh JKDM dengan kos RM2.4 juta ini, ruang pejabat yang kondusif ini dapat memberi keselesaan dan semangat yang tinggi kepada seluruh warga Kastam Labuan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai organisasi pemungut cukai negara dan seterusnya mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan dan kualiti kerja. -BERNAMA


Pengarang :