Selangorkini
NASIONAL

RM100,000 baik pulih jeti pendaratan ikan pari PNK Marudu Pitas

KOTA MARUDU, 14 JUL : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih jeti pendaratan ikan pari bagi kemudahan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marudu Pitas di Kampung Tambun, dekat sini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub selepas meninjau jeti pendaratan ikan pari di kampung itu pada lawatan kerjanya di sini semalam, yang turut diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Sallehhuddin Hassan.

Pada majlis itu, Salahuddin menyampaikan replika cek peruntukan berkenaan kepada Pengerusi PNK Marudu Pitas Datuk Zaman Bayang.

Dalam ucapannya, Salahuddin berkata jeti berkenaan sememangnya memerlukan pembaikan memandangkan strukturnya sudah terlalu usang dan daif sehingga menyukarkan para nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka.

“Jeti pendaratan ikan pari ini perlu diperbaharui demi manfaat nelayan di sini. Kerajaan akan terus komited untuk memenuhi keperluan nelayan bagi memudahkan mereka turun menangkap hasil laut dan memperoleh pendapatan untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin turut menyampaikan Bantuan Dana Nelayan sebanyak RM25,000 kepada lima peserta perintis program penangkapan ikan pari dengan cara merawai.

Projek perintis itu mula dilaksanakan pada 1 April lepas melibatkan tiga peserta dan tiga pegawai penyelia dengan suntikan modal PNK Marudu Pitas sebanyak RM14,200.

PNK memasarkan dua spesies ikan pari di Sandakan iaitu ikan pari pasir dan ikan pari daun dengan harga memberangsangkan.

Projek itu juga dilihat mampu menyuntik perkembangan ekonomi PNK dengan memasarkan ikan pari sekali gus menyumbang kepada pendapatan sosioekonomi nelayan dan anggota persatuan.

-BERNAMA


Pengarang :