NASIONAL

RM2 juta untuk sumbangan politik – Saksi

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM2 juta yang didepositkan ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), yang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai saham terbesar dalam syarikat itu, adalah sumbangan politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada Jun 2016.

Ketua Pegawai Operasi THSB, Datuk Mohd Hasbi Jaafar, 55, berkata Tengku Adnan memaklumkan perkara tersebut semasa beliau menghubungi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada 14 Jun 2016.

Disoal peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan sama ada semasa perbualan telefon itu, Tengku Adnan ada menyebut bahawa wang berkenaan adalah ‘donation’ (sumbangan) bagi dua pilihan raya kecil itu?

Mohd Hasbi menjawab, “Ya, benar”.

Tan: Sebagai Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan sering kali membuat ‘cash advance’ untuk parti UMNO.

Mohd Hasbi: Saya pernah dengar.

Tan: Adakah kamu tahu ‘cash advance’ itu untuk bayar gaji staf UMNO bagi PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar)?, Mohd Hasbi menjawab, “tahu”.

Terdahulu, Mohd Hasbi ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau hanya mengetahui cek RM2 juta yang telah didepositkan ke dalam akaun syarikat berkenaan setelah menerima slip deposit cek menerusi WhatsApp yang dihantar Tengku Adnan kepadanya pada 14 Jun 2016.

Mohd Hasbi, yang berkhidmat selama 24 tahun di THSB sejak 1995 juga mengesahkan beliau tidak pernah menerima secara fizikal cek tersebut.

Mohd Hasbi yang memantau kewangan syarikat tersebut dari segi transaksi kemasukan dan pengeluaran wang daripada akaun syarikat THSB, turut mengesahkan syarikat tersebut tidak pernah berurusan dengan syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim adakah perkara itu (keterangan mengenai sumbangan politik) ditanya semasa saksi berkenaan disoal siasat Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Saad Bordani?

Mohd Hasbi berkata, “Tidak”.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – BERNAMA


Pengarang :