NASIONAL

RM200,000 bina jeti baharu di Kuala Penyu

KUALA PENYU, 14 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus peka terhadap keperluan nelayan di Sabah khususnya di daerah ini, apabila mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membina baharu Jeti Sitompok, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam lawatan kerja dan majlis ramah mesra bersama nelayan Kuala Penyu, yang turut dihadiri timbalannya Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha MOA Datuk Sallehhuddin Hassan, hari ini.

Selepas pengumuman itu, Salahuddin kemudian menyampaikan replika cek bagi membina jeti berkenaan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu Mohd Yusof Mohamad.

Bercakap kepada pemberita Salahuddin berkata, peruntukan itu adalah bantuan segera daripada kementerian, memandangkan jeti sementara yang ada pada ketika ini terlalu daif dan tidak selamat untuk para nelayan mendaratkan hasil laut mereka.

“Jeti ini perlu dibina baharu sebagai kemudahan para nelayan di daerah ini mendaratkan hasil tangkapan mereka, selain memastikan mereka tidak menghadapi masalah seperti sebelum ini.

“Justeru, saya berharap pihak bertanggungjawab menguruskan pembinaan jeti ini, akan memastikan kerja-kerja pembinaan dilakukan mengikut masa ditetapkan, bagi membolehkan para nelayan dapat menggunakan jeti ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pembinaan sementara Jeti Sitompok dimulakan sendiri oleh PNK Kuala Penyu pada 21 Feb lalu dengan kos RM15,000, yang dibina di atas rizab perikanan Kuala Penyu dengan mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Sabah dan Pejabat Daerah Kuala Penyu.

Pada majlis sama, Salahuddin turut meluangkan masa hampir sejam berdialog bersama agropenur muda Sabah selain menyampaikan geran Agropreneur Muda Negeri Sabah bernilai RM342,000 kepada seramai 40 peserta program tersebut.

Program Agropreneur Muda adalah satu daripada inisiatif MOA untuk menarik serta menggalakkan pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian seterusnya membangunkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor itu.

Seramai 419 agropreneur muda di Sabah menerima kelulusan geran Agropreneur Muda berjumlah RM5.8 juta sejak 1 Januari 2016 hingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 267 agropreneur muda menerima geran RM3 juta bagi sektor tanaman, 97 orang menerima RM1.6 juta (sektor industri asas tani); 28 orang menerima RM663,000 (sektor ternakan) dan 27 orang menerima RM607,000 bagi sektor perikanan.

-BERNAMA


Pengarang :