NASIONAL

RM3.3 juta dibelanja dalam masa satu hari guna kad kredit Najib

KUALA LUMPUR, 15 JUL : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa dua kad kredit milik Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta dalam nasa satu hari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Perkara ini didedahkan oleh Naib Presiden Kanan Ambank bertanggungjawab bagi “credit card authorisation and fraud management” Yeoh Eng Leong, 58, pada hari ke-37 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata sejumlah RM456,360.51 telah dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum dan RM2,864,309.54 menggunakan kad kredit Master Platinum.

Saksi itu berkata berbelanja sakan itu berlaku pada 8 Ogos, 2014.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed.

Budiman Lutfi: berapakah jumlah had penggunaan kedua-dua kad kredit tersebut?

Yeoh: Had penggunaan kedua-dua kad ialah RM3 juta.

Budiman Lutfi: Ada apa-apa bayaran dibuat untuk jumlah itu?

Yeoh: Ya. Untuk Kad visa, (pembayaran) RM449,586.95 telah dibuat sementara untuk kad Master RM2, 833,147.21.

Saksi itu juga berkata pada awal Januari 2015, sebanyak RM466,330.11 lagi dibelanjakan di Chanel, butik eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat menggunakan kedua-dua kad kredit.

Beliau berkata kad-kad itu juga digunakan untuk membuat bayaran RM127,017.46 di Shangri-La Hotel di ibu negara Thailand.

Sementara itu. semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu saksi itu bersetuju bahawa menurut penyata kad kredit bertarikh April 2015, bayaran terakhir dibuat oleh seorang yang bernama Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC).

Semasa pemeriksaan semula oleh Budiman Lutfi, Yeoh berkata semua pembayaran dibuat melalui akaun semasa Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 880.

Beliau juga memberitahu bahawa Najib tidak mengambil tindakan berhubung penyata kad kredit tersebut.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA


Pengarang :