NASIONAL

RM925 juta wang 1MDB sudah dikembalikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Sebanyak RM925 juta wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dikembalikan dalam mata wang pelbagai denominasi hasil usaha pihak berkuasa negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kutipan itu membabitkan tiga negara sumber iaitu Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Pihak berkuasa negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara beserta dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara sedang meneruskan usaha agar dana diselewengkan dapat dikembalikan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion.

“Ia termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan pecahan kutipan, sebanyak RM92.3 juta diperoleh dari Singapura, RM805.8 juta (AS) manakala RM27 juta dari dalam negara.

Guan Eng berkata, RM925 juta itu jumlah wang dikembalikan tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak USD126 juta (RM527.4 juta).

“Hasil jualan (kapal Equanimity) telah diterima sepenuhnya pada 23 April 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan berkaitan dijangka akan didepositkan ke dalam Akaun Pemulihan 1MDB atau Kementerian Kewangan pada Ogos ini.

“Apabila diterima USD126 juta kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” katanya.


Pengarang :