SELANGOR

RMS berkenan daki 272 anak tangga Batu Caves

SHAH ALAM, 19 JUL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli mendaki 272 anak tangga menuju ke pintu masuk Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, baru-baru ini.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, lawatan itu adalah bersempena Program Jelajah siri kedua daerah Gombak selepas Kuala Langat, sebelum ini.

Batu Caves cukup terkenal antara kawasan menempatkan kuil penganut agama Hindu, yang juga merupakan lokasi tarikan pelancong utama di Selangor.

Pada lawatan itu, baginda sempat bermesra dan berswafoto dengan pengunjung dan pelancong yang berada di sekitar kawasan terbabit.

Difahamkan, jelajah selama tiga hari sejak semalam itu bertujuan untuk mendekati rakyat Selangor khususnya dengan mengadakan lawatan mesra ke destinasi menarik di setiap daerah negeri ini.

Jelajah tiga hari itu turut disertai Orang-orang Besar Istana yang terdiri daripada Tengku Indera Bijaya Diraja Tengku Salahuddin Shah Alhaj Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.

Hadir sama, Engku Panglima Setia Diraja Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj Syed Anwar Jamalullail; Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj dan Tengku Saifan Rafhan Putra Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.

 

Gambar Ihsan : Facebook Selangor Royal Office


Pengarang :