AGENDASUKANKINI

RMS berkenan lancar fasiliti baharu FAS

SHAH ALAM, 24 JUL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan pelancaran pusat latihan dan pejabat baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Padang Latihan SUK, Seksyen 5 di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Presiden FAS disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Baginda bertitah, fasiliti baharu dinamakan Pusat Latihan FAS itu menyaksikan pusat pentadbiran FAS berpindah dari pejabat lama terletak di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

“FAS adalah satu entiti yang besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Walaupun tertubuh hampir 83 tahun dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat yang usang di Kelana Jaya serta hanya mempunyai pusat latihan serba kekurangan.

“Beta berharap supaya kemudahan baharu ini dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan dan staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia,” titah baginda ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Pada masa sama, baginda menyifatkan penubuhan pusat latihan itu sebagai bukti komitmen FAS untuk membawa persatuan ke tahap lebih tinggi.

Titah baginda, kemudahan dan pejabat baharu itu diharap dapat memberi semangat serta inspirasi baharu kepada pemain selain membolehkan pentadbiran persatuan juga kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung.

Seusai perasmian berkenaan, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli melawat pusat latihan berkeluasan 121,920 meter persegi itu yang dilengkapi padang latihan, gimnasium dan kawasan rawatan fisioterapi.

Baginda turut menunjukkan ketangkasan bermain bola sepak dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Raja Muda Selangor (RMS) dan Dato’ Menteri Besar yang menjadi simbolik perasmian pusat latihan terbabit.

Dalam pertarungan selama 40 minit, RMS berjaya menumpaskan Dato’ Menteri Besar dengan jaringan 2-1.

Terdahulu, fasiliti baharu dibina hasil kerjasama FAS bersama Vizione Holdings Berhad, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam, pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :