NASIONAL

Road to Makkah permudah urusan jemaah haji Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Inisiatif “Road to Makkah” satu projek prapelepasan haji disediakan kerajaan Arab Saudi untuk negara terpilih mendapat pujian jemaah Malaysia.

Melalui projek yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2017 itu, jemaah haji tidak lagi perlu melalui proses imigresen di Arab Saudi kerana proses itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah haji kumpulan kedua musim haji tahun ini, Norizan Yacob berkata beliau amat berpuas hati dengan inisiatif itu kerana selain menjimatkan masa ia juga memudahkan golongan yang menghadapi masalah kesihatan.

“Syukur. Terutamanya sebab suami baru saja keluar hospital dan masih belum sihat sepenuhnya. Dengan inisiatif ini, kami tidak perlu beratur lama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, beliau lega kerana tidak perlu berasak-asak di lapangan terbang di Arab Saudi bersama jemaah-jemaah negara lain.

Sementara itu, Sawandi Berahim, 65, dari Tanjung Karang, Selangor memuji hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sehingga diberi kepercayaan untuk menjalankan inisiatif itu.

Beliau yang pernah menunaikan haji pada 2006 berharap dapat memberi lebih fokus untuk beribadah pada perjalanan kali ini.

“Alhamdulillah. Dengan inisiatif ini, jemaah tidak lagi perlu berpenat-lelah selepas tiba di Madinah nanti. Pada tahun 2006, saya dah alami semua itu dan ianya sangat memenatkan,” katanya.

Road to Makkah adalah satu sistem prapelepasan haji kelolaan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan perjalanan jemaah ke Makkah.

Di bawah inisiatif ini, cap jari jemaah akan diambil dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi juga akan dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Tahun ini, sebanyak 12 kaunter imigresen Arab Saudi disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk dua kaunter untuk golongan orang kurang upaya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia buat julung kalinya menyediakan dua pintu automatik yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi memudahkan proses imigresen terhadap jemaah haji.

Syarikat tempatan, Dagang NeXchange Berhad (DNeX) diberi kepercayaan untuk menyediakan kemudahan lokasi dan jaringan komunikasi untuk inisiatif Road to Makkah bagi jemaah Malaysia dan Indonesia, tahun ini.

Projek perintis Road to Makkah dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, inisiatif ini turut diperkenal di Tunisia, Bangladesh dan Pakistan.

– BERNAMA


Pengarang :