SELANGOR

Rombak pengurusan jika gagal salur air selepas 84 jam

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu dirombak jika pengguna tidak mendapat bekalan air selepas 84 jam kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, pengguna sepatutnya mendapat bekalan air semula selewat-lewatnya 9 malam, pada Jumaat (26 Julai) dan pihaknya akan memantau rapat kerja lapangan yang bermula pada 23 Julai ini.

“Jika pengguna masih tidak mendapat bekalan air pada Jumaat jam 9 malam, SPAN meminta (Dato’) Menteri Besar Selangor untuk buat perubahan kepada pengurusan Air Selangor,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Antara wilayah yang terbabit adalah Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Charles berkata, kerja penambahbaikan LRA SSP1 itu akan menjejaskan 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan membabitkan tujuh kerja utama dan 28 kerja tumpang.

“SPAN memohon supaya Air Selangor memendekkan tempoh masa gangguan dan menyegerakan pemulihan bekalan air kepada pengguna terbabit.

“Bagaimanapun, Air Selangor menjelaskan tempoh 84 jam pemulihan mengambil kira semua faktor terbabit.

“Gangguan bekalan air ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana selama ini LRA beroperasi selama 24 jam seminggu dan memerlukan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Mengikut rekod SPAN, margin rizab air Selangor berada dalam kedudukan rendah sekitar 2 peratus dan diharapkan ia meningkat kepada 8.2 peratus penghujung tahun ini selepas kerja baik pulih LRA SSP 1 selesai.


Pengarang :