NASIONAL

RON97 naik 4 sen, harga RON95 dan diesel kekal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Harga runcit produk petroleum RON97 naik 4 sen kepada RM2.57 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 serta RM2.18 seliter, bagi tempoh 13 hingga 19 Julai, bermula tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, anggaran subsidi bahan api perlu ditanggung Kerajaan dalam tempoh 13 hingga 19 Julai ini adalah berjumlah RM114.06 juta.

Berdasarkan pecahan tiga produk itu, jumlah tanggungan subsidi Kerajaan bagi RON95 berjumlah RM92.29 juta, RM21.77 juta bagi diesel manakala RON97 tidak diberikan subsidi.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya adalah RM2.27 dan RM2.29 seliter masing-masing.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum serta mengurangkan kos sara hidup rakyat.


Pengarang :