NASIONAL

Rumah dua beradik musnah terbakar

KUALA TERENGGANU, 2 JULAI: Dua keluarga beradik tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka yang terletak bersebelahan musnah satu kebakaran di Kampung Losong Haji Long, malam ini.

Hakimah Aziz, 65, berkata ketika kejadian jam 7.30 malam, beliau bersama tujuh anggota keluarganya berada di dapur rumah di tingkat bawah sebelum terdengar jeritan jiran memberitahu bahagian atas rumah mereka terbakar.

“Masa kejadian memang tidak dengar apa-apa bunyi atau bau. Kami berada di dapur tingkat bawah.

“Kami terdengar jiran menjerit beritahu ada api dan terlihat api sedang marak di tingkat atas. Kami sekeluarga bergegas keluar tanpa sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran yang berlaku di rumah yang didiami Hakimah sejak 40 tahun lalu itu turut memusnahkan rumah adiknya, Khairuddin Aziz, 62.

Isteri Khairuddin, Barizah Mohd Yusof, 59, berkata semasa kejadian beliau hanya tinggal berdua dengan suaminya dan terdengar jeritan jiran bahawa api sedang marak.

“Sejurus terlihat api, suami dan anak saudara menolong saya keluar dari rumah kerana saya tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.48 malam dan tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

Katanya, bomba dengan kekuatan 25 anggota bersama tiga jentera pemadam dan sebuah jentera tangki dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira 90 minit kemudian.

Katanya, kedua-dua rumah tersebut musnah sama sekali dan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :