AGENSISELANGOR

Rumah mampu milik buat penjawat awam bakal dibina di Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JUL: Penjawat awam di Selangor kini mampu memiliki kediaman pangsapuri apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina rumah mampu milik di Seksyen 16, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, rumah yang akan dibina menjelang 2020 itu kini dalam peringkat kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Dianggarkan sebanyak 232 unit rumah pangsapuri kos sederhana khusus untuk penjawat awam dan golongan B40 yang PKNS bina.

“Rumah yang dibina adalah pangsapuri dengan keluasan 900 kaki persegi. Pembinaan ini dibuat kerana PKNS prihatin terhadap keperluan rakyat yang inginkan lebih banyak pembinaan rumah yang mampu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Sebelum ini, PKNS turut menawarkan kediaman kondominium di tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur kepada penjawat awam.

Peluang itu dinikmati melalui hasil kerjasama diantara syarikat milik penuh PKNS, DatumCorp International Sdn Bhd (Datum Corp) dan MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd.

Inisiatif menarik itu turut dapat membantu mempertingkatkan pemilikan hartanah berkualiti dalam kalangan penjawat awam di kota metropolis Kuala Lumpur.

Pembinaan yang dikenali dengan nama Datum Jelatek itu terletak kira-kira lima kilometer dari KLCC itu turut bersambung dengan kemudahan pengangkutan awam utama iaitu Stesen LRT Jelatek.

Pembangunan yang turut merangkumi komponen antara pusat membeli-belah dan kediaman setinggi 41 tingkat itu dijangka siap awal suku 2020.


Pengarang :