NASIONAL

Rundingan tuntut lebihan bayaran TSGP masih berjalan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Kerajaan masih menjalankan rundingan dengan kerajaan China bagi menuntut lebihan bayaran projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa pasukan rundingan yang diketuai Jabatan Peguam Negara dan wakil kementerian berkaitan diberi mandat untuk merunding terma, pampasan dan syarat pembatalan kontrak serta pinjaman berdasarkan prinsip bayaran ke atas kos kerja yang sudah siap.

“Memandangkan sesi rundingan masih berjalan, jumlah pampasan dan sebarang bayaran yang dibuat masih belum dapat dimuktamadkan.

“Sebaik sahaja ia dimuktamadkan, Jabatan Peguam Negara akan mengesyorkan langkah terbaik bagi menuntut lebihan bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Chan Foong Hin (PAKATAN-Kota Kinabalu) berhubung usaha kerajaan menuntut kembali RM3.54 bilion bayaran yang dibuat kerajaan terdahulu bagi TSGP.

Foong Hin turut bertanyakan rancangan alternatif untuk menjana kuasa di bahagian pantai timur Sabah.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan menyedari ketidakseimbangan dalam permintaan dan penawaran bekalan elektrik di bahagian pantai barat serta pantai timur Sabah.

“Bagi menanganinya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kerajaan Sabah sedang dalam proses memuktamadkan pelan penjanaan bagi pantai timur Sabah,” katanya.

Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan TSGP diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016 dan diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016 bagi membina saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer di pantai barat Semenanjung dan saluran paip gas sepanjang 662 kilometer di Sabah.

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat Kementerian Kewangan, membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit dianggar pada tahap 13 peratus.

-BERNAMA


Pengarang :