SELANGOR

SACC Mall terima penarafan Zon Perdagangan Terpilih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall di bawah kendalian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerima penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) peringkat Zon Tengah daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penarafan itu ekoran pusat beli-belah berkenaan mencapai tahap terbaik dalam pematuhan undang-undang yang dikuat kuasakan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, selama tiga tahun berturut-turut.

“Kami sentiasa memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan supaya perniagaan di dalam pusat beli-belah milik PREC dapat dijalankan dengan telus dan hak pengguna terpelihara dengan baik daripada disalahguna,” katanya kepada SelangorKini.

Penarafan itu disampaikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang berlangsung di Sunway Velocity Mall.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, SACC Mall adalah salah satu daya untuk menggamit perhatian pelancong ke Shah Alam selain Kompleks PKNS Shah Alam yang sentiasa dibanjiri pengunjung terutama ketika bulan puasa.

Katanya, ia juga salah satu faktor penting buat PREC untuk melaksanakan kerja penambahbaikan terhadap aset miliknya supaya mesra pengguna dan terus kekal relevan.

“Pengisian program berimpak tinggi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah kami seperti ‘PREC Beyblade Battle’ yang akan berlangsung ‪pada 21 Julai‬ ini.

“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Teater Peringkat Selangor dengan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah ‪pada 24 Julai‬ ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menerusi catatan di Facebook berkata, ZPT adalah sistem penarafan yang diwujudkan KPDNHEP bagi memberi pengiktirafan kepada kompleks perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika selaras akta dan peraturan dikuatkuasakan kementerian.

Antara penerima penarafan peringkat zon tengah di Selangor adalah Aeon Mall Shah Alam dan Gateaway@KLIA 2, manakala penerima di Wilayah Persekutuan adalah Sunway Velocity Mall, Pavilion dan Suria KLCC serta penerima di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Alamanda Shopping Centre.


Pengarang :