SELANGOR

Sahabat Hospital & JAIS santuni pesakit HIV

PUCHONG, 16 JULAI: Pertubuhan badan bukan kerajaan Islam (NGO-i) Sahabat Hospital dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyantuni pesakit ‘Human Immunodeficiency Virus’ (HIV), di Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah, di sini hari ini.

Wakil Sahabat Hospital, Mohd Basori Umar berkata, program ziarah itu bertujuan menyelami pengalaman penghidap HIV selain melihat sendiri aktiviti dilakukan penghuni di situ.

Katanya, beliau kagum dengan suasana dan amalan dilaksanakan penghuni di rumah perlindungan terbabit kerana mereka didedahkan dengan ibadah serta ajaran Islam.

“Program ziarah ini sedikit sebanyak membuka mata kita, malahan mereka sangat beruntung apabila masih diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

“Jadi, lawatan kali ini kami mengambil kesempatan untuk mendekati mereka kerana golongan ini sebenarnya memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi penyerahan sumbangan kepada penghuni Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Sahabat Hospital dan JAIS berkesempatan memberikan sedikit sumbangan berupa barangan asas kepada 37 penghuni rumah terbabit.

Pada masa sama, Mohd Basori berkata, lawatan kedua itu sebahagian daripada kerja dakwah dilaksanakan pertubuhannya setiap tahun.

Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah mula ditubuhkan pada 2009 oleh pendakwah terkenal, Muhammad Abdullah Al Amin sejurus melihat ketidakwujudan pusat perlindungan khas kepada pesakit HIV muslim.


Pengarang :