NASIONAL

Saifuddin adakan lawatan tiga hari ke Bangladesh

 

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Bangladesh mulai hari ini, lawatan pertamanya ke negara itu sejak memegang jawatan itu tahun lepas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Saifuddin dijadualkan bertemu rakan sejawatannya Dr A.K. Abdul Momen dengan kedua-duanya dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala serta hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Saifuddin juga dijadualkan melawat Hospital Medan Malaysia dan beberapa kem pelarian Rohingya di Cox Bazar di daerah pesisiran pantai tenggara Bangladesh.

“Lawatan ini akan menyediakan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara dan meningkatkan lagi kerjasama dua hala serta meneguhkan sokongan berterusan Malaysia kepada kerajaan Bangladesh dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya,” kata kenyataan itu.

Malaysia dan Bangladesh mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang besar dengan perdagangan dua hala bernilai US$2.37 bilion pada 2018, peningkatan ketara sebanyak 35.4 peratus daripada US$1.75 bilion pada 2017.

Dari Januari hingga April 2019, perdagangan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada US$793.1 juta berbanding US$771.5 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia.

– BERNAMA


Pengarang :